SEJARAH SEKOLAH

             Di awal penubuhannya pada tahun 1952 Sekolah Kebangsaan Tok Jiring hanyalah terdiri daripada sebuah bangsal beratapkan nipah berukuran 20 x 30 kaki tanpa dinding dan dibina hasil kerjasama antara YM Tuan Taib bin Tuan Dalam (Penghulu Mukim pada masa itu) bersama dengan Tuan Ismail bin Abdullah (Ketua Kampung Tok Jiring, penduduk Kampung Padang Air dan penduduk Kampung Batu Enam.
            Pada tanggal 5 Mei 1952, bermulalah detik bersejarah bagi penduduk sekitar dengan 2 orang tenaga iaitu En.Wan Mansor bin Abu Bakar sebagai Guru Besar yang pertama dan YM Tuan Syed bin Tuan Dalam sebagai pembantunya. Bilangan murid pada ketika itu seramai 70 orang dan dibahagikan kepada 2 kelas, iaitu satu kelas di dalam bangsal dengan bangku panjang dan satu kelas lagi di bawah pokok.
            Malang tak berbau, tidak sempat menjangkau 6 bulan penubuhan, bangsal tersebut hangus dijilat api.Maka terhentilah seketika aktiviti persekolahan sehingga dibangunkan semula bangsal lain.
            Dari sebuah bangsal tanpa dinding, Sekolah Kebangsaan Tok Jiring kini telah berkembang dengan pesatnya menjadi sebuah institusi pendidikan formal yang mempunyai 8 blok bangunan yang dilengkapi dengan Makmal Komputer, Makmal Sains, Bengkel Kemahiran Hidup, Perpustakaan, Bilik Tayang, Bilik Media, Bilik Rawatan, Bilik Guru, Surau, Pejabat, Pondok RMT, 40 buah kelas, Bilik j-QAF, Bilik Kaunseling dan juga Bilik Gerakan. Selain itu, sekolah ini juga dilengkapi dengan sebuah taman yang dikelilingi kolam ikan dan juga pondok-pondok kecil yang membolehkan murid-murid berehat setelah penat menelaah pelajaran. Semua kemudahan ini ditempatkan di atas sebuah kawasan seluas 11.84 ekar tanah.
            Sekolah Kebangsaan Tok Jiring masiih lagi menggunakan 2 sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang kerana kepadatan pelajar dan kekurangan kelas yang tidak mampu menampung kesemua pelajar. Sekolah ini mempunyai murid seramai 1403 orang. Tenaga pengajar seramai 82 orang dan kakitangan sekolah pula seramai 10 orang telah bersepakat untuk memastikan sekolah ini berdiri sebaris dengan sekolah cemerlang di negara ini.
            Latar belakang sosio ekonomi ibu bapa pelajar terdiri daripada kalangan petani, buruh kasar, pegawai kerajaan serta swasta dan sebahagian kecil sahaja daripada golongan profesional. Secara puratanya, murid-murid sekolah ini terdiri daripada golongan keluarga sederhana. Malah, tidak kurang juga daripada mereka tergolong daripada golongan yang berpendapatan rendah. Ini terbukti daripada angka murid yang mendapat bantuan Rancangan Makanan tambahan adalah seramai 500 orang.
            Namun begitu, ia bukanlah penghalang bagi guru-guru dan kakitangan sekolah ini untuk memastikan anak didik mereka mendapat pendidikan terbaik. Ini terbukti dalam pencapaian UPSR 1997 dan 1998, SKTJ merupakan sekolah terbaik di daerah Kuala Terengganu Utara dan pada tahun 1999 kedua terbaik. Kebelakangan ini, Sekolah Kebangsaan Tok Jiring tersenarai dalam 10 sekolah terbaik UPSR. Malah pernah berada dalam kedudukan 5 terbaik di negeri Terengganu.